Ada seorang perempuan tua yang taat
beragama, tetapi suaminya seorang
yang fasik dan tidak mahu
mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu
berbuat kebaikan.
Perempuan itu sentiasa membaca
Bismillah setiap kali hendak bercakap dan
setiap kali dia hendak memulakan
sesuatu sentiasa didahului dengan
Bismillah. Suaminya tidak suka
dengan sikap isterinya dan sentiasa
memperolok-olokkan isterinya.
Suaminya berkata sambil mengejak, "Asyik
Bismillah, Bismillah.
Sekejap-sekejap Bismillah."
Isterinya tidak berkata apa-apa
sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T.
supaya memberikan hidayah kepada
suaminya. Suatu hari suaminya berkata
: "Suatu hari nanti akan aku
buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu
itu."
Untuk membuat sesuatu yang
memeranjatkan isterinya, dia memberikan
wang yang banyak kepada isterinya
dengan berkata, "Simpan duit ini."
Isterinya mengambil duit itu dan
menyimpan di tempat yang selamat, di
samping itu suaminya telah melihat
tempat yang disimpan oleh isterinya.
Kemudian dengan senyap-senyap
suaminya itu mengambil duit tersebut dan
mencampakkan beg duit ke dalam
perigi di belakang rumahnya.
Setelah beberapa hari kemudian
suaminya itu memanggil isterinya dan
berkata, "Berikan padaku wang
yang aku berikan kepada engkau dahulu
untuk disimpan."
Kemudian isterinya pergi ke tempat
dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh
suaminya dengan berhati-hati dia
menghampiri tempat dia menyimpan duit itu
dia membuka dengan membaca,
"Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah
S.W.T. menghantar malaikat Jibrail
A.S. untuk mengembalikan beg duit dan
menyerahkan duit itu kepada suaminya
kembali.
Alangkah terperanjat suaminya, dia
berasa bersalah dan mengaku segala
perbuatannya kepada isterinya,
ketika itu juga dia bertaubat dan mula
mengerjakan perintah Allah, dan dia
juga membaca Bismillah apabila dia
hendak memulakan sesuatu kerja.